Friday, July 30, 2010

Piramid Makanan


Apa itu piramid makanan ?


Piramid makanan merupakan panduan bagi memilih makanan secara sihat. Makanan yang dimakan seharian perlu diambil paling banyak daripada kumpulan makanan di bahagian paling bawah Piramid, dan paling sedikit daripada kumpulan makanan di bahagian paling atas. Piramid Makanan mengandungi makanan yang dibahagikan kepada lima kumpulan berasaskan kepada kandungan zat dan fungsinya.

Berapakah kuantiti makanan yang seharusnya diambil?

Anda perlulah mengambil makanan mengikut kuantiti yang disarankan dalam piramid makanan.

Makanan Seimbang


Makanan seimbang merupakan makanan yang mengandungi nutrisi yang mencukupi seperti karbohidrat, protein, vitamin, serat, dan lemak. Kita seharusnya mengambil makanan yang seimbang dalam setiap hidangan untuk memastikan tubuh badan kita berfungsi dengan normal dan baik. Makanan yang seimbang mampu memberikan kita tenaga yang mencukupi bagi keperluan untuk melakukan aktiviti seharian.Makanan yang seimbang juga dapat membantu dalam proses pembesaran, dan dapat menjauhi kita daripada mendapat penyakit. Amalan pemakanan yang sihat merupakan salah satu faktor yang penting ke arah mengekalkan kesihatan tubuh badan. Makanan seimbang seharusnya memberi :

i. Tenaga makanan yang mencukupi
ii. Karbohidrat, protein dan lemak secara optimum.
iii. Kandungan fiber yang mencukupi
iv. Kandungan bahan galian, vitamin dan asid lemak.

Makanan ini terdiri dari tiga kumpulan iaitu makanan yang dapat memberi tenaga, menjauhi daripada penyakit dan membina sel-sel dan tisu tubuh.

A. Makanan yang memberi tenaga

Di Malaysia tenaga 50-60% penduduk diperoleh daripada nasi. Namun begitu makanan lain yang menghasilkan tenaga termasuklah semua jenis bijirin seperti jagung, gandum, beras, bali, ubi keledek, keladi, ubi kayu, kentang dan lain-lain. Makanan lain yang dapat menghasilkan tenaga adalah makanan yang mengandungi gula seperti gula pasir, sirap, jem dan madu.

B. Makanan membina badan

Protein adalah salah satu nutrisi dalam makanan yang dapat membantu dan proses tumbesaran tubuh badan. Protein dapat membina sel-sel atau jaringan tisu dalam badan kita. Antara makanan yang banyak mengandungi kandungan protein termasuklah ikan, ketam, kepah, sotong, ayam, itik, dan lembu. Kekurangan sumber protein boleh membantutkan pertumbuhan seseorang termasuk pembentukan otot. Kekurangan protein juga mempengaruhi pembentukan darah dan hal ini akan menyebabkan badan menjadi lesu.

C. Makanan yang dapat menjauhi daripada serangan penyakit

Makanan jenis ini merupakan makanan yang membekalkan tubuh dengan bahan-bahan yang dapat mengekalkan semua perjalanan organ di dalamnya. Ia mencegah tubuh daripada dihidap penyakit. Makanan jenis ini meliputi sayur-sayuran dan buah-buahan.


Sumber : Diperoleh daripada kerja kursus pelajar UPSI, kursus Pendidikan Kemahiran Hidup



Wednesday, July 28, 2010

Pengertian Makanan


Makanan merupakan bahan yang diperoleh daripada haiwan dan tumbuhan yang dimakan oleh makhluk yang hidup untuk mendapatkan tenaga dan nutrisi yang diperlukan oleh badan.

Setiap makhluk yang hidup memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan dengan baik dan sihat. Tanpa makanan, kita tidak dapat melakukan aktiviti seharian dengan baik. Hal ini demikian kerana, badan kita memerlukan tenaga untuk melakukan sebarang aktiviti seharian. Sekiranya kandungan tenaga di dalam badan kita tidak mencukupi, sudah tentu kita tidak dapat melakukan kerja seharian dengan baik.




Sumber : http://id.answers.yahoo.com/question/index
 
 

Blogger

Nurhidayah Binti Borhanudin