Friday, July 30, 2010

Piramid Makanan


Apa itu piramid makanan ?


Piramid makanan merupakan panduan bagi memilih makanan secara sihat. Makanan yang dimakan seharian perlu diambil paling banyak daripada kumpulan makanan di bahagian paling bawah Piramid, dan paling sedikit daripada kumpulan makanan di bahagian paling atas. Piramid Makanan mengandungi makanan yang dibahagikan kepada lima kumpulan berasaskan kepada kandungan zat dan fungsinya.

Berapakah kuantiti makanan yang seharusnya diambil?

Anda perlulah mengambil makanan mengikut kuantiti yang disarankan dalam piramid makanan.


A

Setiap individu mempunyai saiz sajian yang berbeza-beza mengikut tahap aktiviti fizikal masing-masing. Contohnya, seorang atlit atau seseorang yang aktif dalam sukan memerlukan saiz sajian makanan yang lebih besar berbanding mereka yang kurang aktif.

Berapakah kalori yang diperlukan?

Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI) boleh digunakan sebagai panduan dalam mendapatkan jumlah kalori harian yang diperlukan oleh seseorang.

Kegagalan dalam mematuhi panduan tersebut boleh mengakibatkan berlakunya masalah kekurangan berat badan, berlebihan berat badan dan kegemukan atau obesity.

Rancanglah Menu harian anda dengan baik bagi memastikan makanan yang anda ambil itu dapat memenuhi keperluan kalori harian anda.

Bagaimana dengan makanan snek ?

Pengambilan makanan snek juga turut membekalkan nutrien dan tenaga kepada kita. Namun, pengambilan makanan snek perlulah hanya dijadikan sebagai makanan tambahan kepada menu utama dan bukannya sebagai pengganti kepada menu utama tersebut.

Adakah makanan segera itu baik?

Makanan segera boleh diambil sebagai sebahagian daripada sajian sihat harian anda.

rNamun, makanan segera kebiasaannya adalah tinggi dalam :

  • Kalori.
  • Lemak.
  • Kolesterol.
  • Natrium.
  • Protein.

Makanan segera juga mempunyai kandungan gentian dan vitamin yang rendah.

Hadkan pengambilan makanan segera sehingga 1 hingga 2 kali sebulan serta makan dan pilihlah makanan segera dengan bijak.


ARAS 1
Bijirin, Hasil Bijirin dan Ubi-ubian

Aras 1 Piramid Makanan mengandungi kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, yang merupakan sumber tenaga yang utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Di dalam setiap hidangan, makanan daripada kumpulan ini perlu diambil paling banyak. Contoh makanan bagi kumpulan ini adalah nasi, bubur, mi, mihun, roti, pasta, bijirin sarapan, capati, thosai, biskut, dan ubi keledek, keladi dan kentang.

Pilihlah bijirin atau hasil bijirin mil penuh seperti beras perang, tepung gandum mil penuh atau tepung atta, dan roti atau biskut mil penuh.

ARAS 2
Sayur-sayuran dan Buah-buahan

Sayur-sayuran dan buah-buahan terletak di Aras 2 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak, dan pelbagaikan pilihan di dalamcsetiap hidangan.

ARAS 3
Daging, Ayam, Ikan dan Kekacang

Daging, ayam, ikan dan kekacang terletak di Aras 3 Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan protein, vitamin B, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang, kerana ianya rendah lemak dan kaya dengan serat. Contoh kekacang adalah kacang soya dan hasilnya (seperti tauhu dan tempe), kacang dhal dan kacang merah.

Hasil Tenusu

Hasil tenusu juga terletak di Aras 3 Piramid. Contoh hasil tenusu ialah susu, keju dan dadih. Makanan ini kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Plihlah hasil tenusu rendah lemak.

ARAS 4
Lemak, Minyak dan Gula

Lemak, minyak dan gula, juga makanan yang kaya dengan bahan ini terletak di Aras 4 Piramid. Ini menunjukkan hanya sedikit sahaja makanan daripada kumpulan ini yang perlu dimakan.


Sumber : http://tayibah.com/eIslam/piramid.htm


No comments:

Post a Comment

 
 

Blogger

Nurhidayah Binti Borhanudin