Tuesday, August 24, 2010

Pisang


Pisang merupakan sejenis tumbuhan yang tergolong dalam kumpulan Musaceae. Pisang dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Ianya dikenali di negara-negara tropika seantaro dunia akibat daripada perkembangan aktiviti perdagangan. Pisang mula diperkenalkan oleh saudagar-saudagar Arab di Afrika Timur. Ianya mula dibawa ke Kepulauan Canary oleh orang-orang Portugis pada tahun 1402. Negara Sepanyol juga turut memperkenalkan pisang sekitar tahun 1531 dan ke Benua Eropah Barat serta Amerika Utara pada tahun 1866.



Jenis-jenis pisang
di Malaysia

Pisang Embun

Pisang ini juga dikenali sebagai pisang Bunga. Pisang ini berbentuk panjang, pada peringkat permulaannya ianya berwarna hijau dan kemudian berubah menjadi warna kuning pucat. Ianya berkulit tebal dan senang dikupas. Satu tandan pisang Embun yang besar, beratnya boleh menjangkau antara 15 hingga 35 kilogram. Setiap tandan pula mempunyai 7 hingga 9 sikat dengan bilangan 100 hingga 200 biji buah pisang. Manakala setiap sikat pula mengandungi 14 hingga 15 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini berukuran 15 hingga 20 sentimeter dan lebarnya 4 sentimeter . Ketinggian pokok pisang jenis ini ialah kira-kira 5 meter .

Pisang Rastali

Buah pisang ini bersaiz sederhana. Kulitnya berwarna kuning dan agak kasar. Terdapat bintik-bintik hitam dan coklat di atas permukaan kulitnya serta ianya mudah dikupas. Isinya pula berwarna putih atau krim pucat. Setiap tandan mempunyai berat kira-kira 10 kilogram, 7 hingga 8 sikat dengan bilangan 90 hingga 100 biji buah pisang . Manakala setiap sikat mengandungi 10 hingga 14 biji buah pisang. Panjang buah pisang Rastali ialah kira-kira 12.0 sentimeter dan lebarnya berukuran 3.7 sentimeter.

Pisang Emas


Saiz buah pisang ini adalah kecil tetapi rasanya lazat berbanding dengan pisang jenis lain. Apabila ianya ranum, buah serta isinya berwarna kuning keemasan . Buah pisang ini mudah lebam dan bertukar menjadi kehitaman. Setiap tandan mempunyai berat antara 7 hingga 9 kilogram, 6 hingga 7 sikat dengan bilangan 100 hingga 150 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini bersaiz 9.0 sentimeter dan lebarnya ialah 3.5 sentimeter. Pokok pisang Emas adalah kecil sahaja.


Terdapat juga pelbagai jenis pisang lain yang tumbuh subur di negara kita selain dari tiga jenis pisang yang telah diterangkan. Ianya adalah seperti pisang Berangan, pisang Masak Hijau, pisang Nipah, pisang Raja, pisang Tanduk, pisang Awak dan tidak ketinggalan juga pisang Raja Udang yang dipercayai tidak boleh dimakan. Satu lagi jenis pisang yang kurang dikenali ramai iaitu pisang Kaki. Pisang ini unik kerana bentuknya tidak menyerupai pisang-pisang biasa yang lain. Buahnya berbentuk bulat, berisi ranggup dan berbiji ini berasal dari keluarga Ebenacea.

Khasiat pisang


Pisang dapat membekalkan tenaga yang segera kepada badan. Hasil kajian membuktikan, dengan hanya memakan 2 biji pisang, badan kita dibekalkan tenaga yang mencukupi untuk melakukan kerja-kerja berat selama lebih daripada sejam setengah. Sebab itu pisang menjadi buah pilihan utama bagi atlit dan ahli sukan di seluruh dunia.

Menurut kajian yang dijalankan, pisang juga turut membantu dalam mengurangkan penyakit-penyakit sepert berikut :

Kemurungan
Satu kajian oleh MIND kepada orang-orang yang mengalami masalah kemurungan telah mendapati bahawa pisang telah membantu orang yang mengalami kemurungan dengan mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Ini disebabkan, pisang mengandungi sejenis protein yang digelar tryptophan. Tryptophan ini akan ditukarkan oleh badan kepada serotonin yang mana unsur ini dapat menjadikan tubuh badan kita berada dalam keadaan tenang.

Anemia
Di dalam pisang terdapat zat besi yang tinggi. Zat besi ini akan merangsang pembentukan hemoglobin di dalam darah kita. Oleh itu, pisang sememangnya dapat membantu dalam menangani penyakit Anemia ini.

Tekanan darah
Pisang sangat kaya dengan kandungan Potassium dan mengandungi sedikit kandungan garam. Oleh itu, pisang dapat membantu mengatasi masalah tekanan darah dan stroke.

Penghadaman
Kandungan fiber yang tinggi di dalam pisang membantu tubuh kita dalam proses penghadaman makanan.


Sumber : http://pakarhowto.com/rahsia-khasiat-buah-pisang.html

No comments:

Post a Comment

 
 

Blogger

Nurhidayah Binti Borhanudin